SIARAN MEDIA
14 APRIL 2017
KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) melancarkan Aset dan Inovasi Kenderaan di Pejabat Air Selangor Daerah Gombak.
Antara aset dan inovasi kenderaan yang dilancarkan adalah motosikal “V-Rider”, “Q-Rider”, pemasangan “Sistem Penentududukan Sejagat” (GPS) pada lori-lori tangki air dan trak pikap tahan lasak.
Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor. Turut hadir adalah barisan EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pengurusan Tertinggi Air Selangor.
Motosikal “V-Rider” merupakan inovasi mengubahsuaikan motosikal syarikat yang sedia ada dengan memasang pendakap kunci injap (valve key) pada motosikal. Ini membolehkan pasukan pengesahan kebocoran menutup injap air apabila ada kebocoran paip di tapak. Sekali gus, mempercepatkan masa untuk sampai ke lokasi dan mengurangkan pembaziran air. Secara tidak langsung, inovasi ini dapat mengurangkan tempoh gangguan bekalan air kepada pengguna dan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).
Satu lagi inovasi pengubahsuaian motosikal syarikat adalah untuk penunggang motosikal “Q” (Q-Rider). Motosikal yang pasang dengan peti simpanan kedap haba menyimpan botol sampel, pek ais dan aksesori pensampelan yang berkaitan untuk menjalankan ujian kualiti air di tapak atau premis bagi menangani aduan pelanggan mengenai kualiti air. Di samping itu, penunggang Q juga boleh menjalankan analisis kualiti air selepas kerja-kerja pembaikan paip pecah atau bocor. Melalui kaedah ini, respons kepada aduan kualiti air dapat dilakukan dengan lebih cepat dan efisien.
Demi meningkatkan keberkesanan penghantaran bekalan air bantuan kepada pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air, lori-lori tangki air telah dilengkapi dengan peranti GPS. Dengan pemasangan peranti ini, pergerakan lori-lori tangki air, bilangan perjalanan dan lokasi lori tangki air boleh diakses dengan mudah menerusi komputer di pejabat mahupun telefon pintar.
Air Selangor juga telah menambah aset kenderaan dengan memperoleh 57 buah trak pikap tahan lasak baharu untuk melaksanakan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan rangkaian paip agihan air. Trak pikap tahan lasak ini memudahkan juruteknik memasuki kawasan-kawasan pendalaman bagi mengesan paip bocor, kerja pembaikan dan pemantauan berkala perkakasan rangkaian paip agihan air.
Air Selangor akan terus melaksanakan inisiatif untuk menambahbaikkan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.