KENYATAAN MEDIA (MAKLUMAN 4)
18 MEI 2015
STATUS TERKINI GANGGUAN BEKALAN AIR TIDAK BERJADUAL DI BEBERAPA KAWASAN DI WILAYAH KLANG EKORAN PAIP PECAH OLEH KERJA PIHAK KETIGA
Kuala Lumpur – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan status terkini gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan rendah yang dialami oleh sebahagian daripada pengguna di beberapa kawasan di Wilayah Klang sejak kebelakangan ini. Gangguan bekalan air ini disebabkan kejadian paip dari jenis keluli lembut (Mild Steel) bersaiz 1050mm di lokasi No.2 Simpang Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, Klang yang pecah 14 Mei 2015 yang lalu akibat kerja pengorekan yang dilakukan oleh pihak kontraktor untuk Syarikat Indah Water Konsortium (IWK).
Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, kerja pembaikan kerosakan paip masih belum dapat disempurnakan sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor luar kawalan. Antaranya, kesukaran di peringkat awal dalam mengenal pasti lokasi paip yang rosak kerana ianya tertanam melebihi 6 meter di dalam tanah, struktur tanah yang lemah dan lembik yang sering runtuh semasa kerja pengorekan dilakukan walaupun dengan adanya pemasangan cerucuk besi (sheetpile), pemberhentian usaha pembaikan disebabkan hujan yang turun dan akhirnya kegagalan kontraktor IWK mengeluarkan “cutter head” yang terbenam di dalam paip menyebabkan kerja pembaikan menjadi sangat rumit, perlahan dan masih tidak dapat disempurnakan dalam tempoh yang dianggarkan. Berasaskan kepada kemajuan terakhir, paip tersebut dijangka siap dibaiki pada lewat petang, 20 Mei 2015.
Gambar 1 - Air hujan bertakung di kawasan paip pecah ekoran hujan lebat
Gambar 2 - Air hujan bertakung di kawasan paip pecah ekoran hujan lebat
Gambar 3 - Kerja pengorekkan tanah untuk mengenalpasti kedudukan paip pecah
Gambar 4 - Kerja pengorekkan tanah untuk mengenalpasti kedudukan paip pecah
Gambar 5 - Saiz cutter Syarikat Indah Water Konsortium (IWK) yang menyebebakan paip milik SYABAS pecah
Gambar 6 - Saiz cutter Syarikat Indah Water Konsortium (IWK) yang menyebebakan paip milik SYABAS pecah
Bagi mempercepatkan pemulihan bekalan air dan mengurangkan kesulitan yang dialami oleh pengguna di kawasan yang terjejas, pihak SYABAS terpaksa melaksanakan pemasangan paip pintasan sementara kerja pembaikan paip pecah terus dilakukan. Pemasangan paip pintasan ini telah disiapkan sepenuhnya pada jam 6:30 pagi ini (18 Mei 2015) dan bekalan air kepada kebanyakkan kawasan yang terlibat telah disalurkan semula selepas itu. Sehingga jam 12 tengah hari ini, bekalan air di keseluruhan kawasan Laguna Park dan Megahub telah 100% pulih. Sementara bekalan air bagi tiga lagi kawasan iaitu Pulau Indah Fasa 1 & 2, Amanda Putra dan Teluk Gong sudah mencapai antara 80% - 90% dan dijangka pulih sepenuhnya menjelang tengah malam ini.
Sementara itu lori-lori tangki air terus digerakkan bagi menghantar bekalan air kecemasan ke kawasan pengguna yang masih belum mendapat bekalan air. Namun, bekalan air kecemasan melalui lori-lori tangki amat terhad dan keutamaan akan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dailisis dan klinik-klinik kesihatan disamping keperluan meruncing seperti majlis kenduri dan kematian. Sehubungan itu, sepanjang tempoh gangguan pengguna diminta berjimat cermat dan mengurangkan penggunaan air yang diterima dari bekalan air kecemasan ini.
Para pengguna boleh mengakses terus semua maklumat terperinci berhubung gangguan bekalan air dan status pemulihan bekalan air di kawasan masing-masing dengan mudah, pantas dan tepat melalui aplikasi telefon mudah alih mySYABAS yang boleh dimuat turun menerusi Google Playstore / Appstore). Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat yang sama dari laman web SYABAS di www.syabas.com.my. Dalam pada itu, pihak SYABAS juga akan terus memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa melalui media massa.
Dalam pada itu, ingin sekali lagi dimaklumkan di sini bahawa kerosakan paip air disebabkan pihak ketiga seperti ini sering berlaku walaupun telah ditegaskan oleh SYABAS bahawa kami perlu dirujuk terlebih dahulu dalam merancang kerja masing-masing yang melibatkan tapak di mana terdapat laluan jajaran paip air. Keengganan dan tidakan kurang serius sesetengah pihak telah mengakibatkan kesulitan besar kepada kepada pengguna seperti di dalam kes ini. Oleh yang demikian, pihak SYABAS sekali lagi meminta agar semua pihak yang terlibat lebih peka dan memikirkan kepentingan pengguna dan rakyat dengan merujuk perancangan kerja masing-masing kepada SYABAS terlebih dahulu.
~TAMAT~
PRISCILLA ALFRED
Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat SYABAS
*** Maklumat berhubung kejadian ini juga boleh diakses melalui aplikasi sistem mySYABAS yang boleh dimuat turun melalui Google Playstore dan Appstore, atau para pengguna boleh melayari laman web rasmi SYABAS di www.syabas.com.my; atau melayari laman rasmi Facebook atau Twitter SYABAS dengan menaip ‘puspel’ atau ‘puspel syabas’.