Quantcast
Channel: Home - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (1-800-88-5252)
Viewing all articles
Browse latest Browse all 779

PERKEMBANGAN TERKINI CADANGAN PELUPUSAN SELURUH KEPENTINGAN EKUITI DAN SAHAM TERKUMPUL UTAMA BOLEH TEBUS BOLEH TUKAR DI DALAM PUNCAK NIAGA (M) SDN BHD (PNSB) KEPADA PENGURUSAN AIR SELANGOR SDN BHD OLEH PNHB (“CADANGAN PELUPUSAN PNSB”)

$
0
0

 

KENYATAAN MEDIA

 

11 JUN 2015                                     

SIARAN SEGERA

 

PUNCAK NIAGA HOLDINGS BERHAD (“PNHB” ATAU “SYARIKAT”)

 

PERKEMBANGAN TERKINI :-

 

(I)          CADANGAN PELUPUSAN SELURUH KEPENTINGAN EKUITI DAN SAHAM TERKUMPUL UTAMA BOLEH TEBUS BOLEH TUKAR DI DALAM PUNCAK NIAGA (M) SDN BHD (PNSB) KEPADA PENGURUSAN AIR SELANGOR SDN BHD OLEH PNHB (“CADANGAN PELUPUSAN PNSB”)

 

(II)     CADANGAN PELUPUSAN 70% KEPENTINGAN EKUITI DI DALAM  SYARIKAT BEKALAN AIR SELANGOR SDN BHD (SYABAS) DAN SAHAM PINJAMAN BERCAGAR BOLEH TEBUS BERNILAI NOMINAL  RM212.0 JUTA KEPADA PENGURUSAN AIR SELANGOR SDN BHD ("CADANGAN PELUPUSAN SYABAS")

 

(SECARA BERSAMA DIRUJUK SEBAGAI “CADANGAN PELUPUSAN”)          

 

Perjanjian Jual-Beli bersyarat bertarikh 11 November 2014 yang ditanda-tangani oleh Puncak Niaga Holdings Berhad dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Temasek Tiasa Sdn Bhd) (“Air Selangor”) (“Perjanjian SPA”) di mana kedua-dua pihak telah bersetuju terhadap Cadangan Pelupusan PNSB dan Cadangan Pelupusan SYABAS dengan pertimbangan tunai sebanyak RM1,555.3 juta adalah dirujuk.

 

Untuk makluman, Perjanjian SPA yang telah ditandatangani ini telah mendapat sokongan penuh dan kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan di mana Perjanjian SPA ini memberi laluan kepada hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk menyatukan/menstruktur semula industri air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (“Industri Air Selangor”) dan sekaligus, Industri Air Selangor diurus sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor (“Penyatuan/Penstrukturan Semula Industri Air Selangor”) serta pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (“LRA 2”) dan sistem pengagihan bekalan air terawat dari LRA 2 ini segera disempurnakan oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Dalam pada itu, di bawah terma dan syarat-syarat Perjanjian SPA ini, kesemua syarat-syarat duluan (“Conditions Precedent”) perlu disempurnakan pada atau sebelum 12 Januari 2015 (“Tarikh Tamat”)(“Stop Date”) bagi menyempurnakan Perjanjian SPA sekaligus membolehkan PNHB menyerahkan konsesi perniagaan air di Negeri Selangor di bawah PNSB yang dimilikinya dan juga SYABAS kepada Kerajaan Negeri Selangor dan sebagai balasan, Kerajaan Negeri Selangor akan membayar sebanyak RM1,555.3 juta kepada PNHB.

 

Tarikh Tamat ini telah dilanjutkan beberapa kali bagi membolehkan isu-isu yang belum selesai berkaitan pemindahan aset antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan  diselesaikan. Tarikh Tamat terkini yang dilanjutkan ke 11 Jun 2015 adalah Lanjutan Kelima.

 

Sehingga kini, kami difahamkan bahawa Air Selangor masih lagi tidak dapat memenuhi syarat-syarat duluan ("Conditions Precedent") di dalam Perjanjian SPA dan mungkin Tarikh Tamat akan dilanjutkan menjadikan ia Lanjutan Keenam sebelum Cadangan Pelupusan boleh disempurnakan untuk memudahkan Penyatuan/Penstrukturan Semula Industri Air di Selangor yang akan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui entiti milik negeri berkenaan, iaitu Air Selangor.

 

Kelewatan dalam menyempurnakan Penyatuan/Penstrukturan Semula Industri Air di Selangor oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor telah secara tidak sengaja menggugat hak pengguna, menyebabkan kesan yang buruk dan menyusahkan pengguna di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila pihak berkuasa dengan tanpa ragu-ragu terus memberi alasan "Tunggu Sehingga Penstrukturan Semula" berulang-ulang kali apabila PNSB dan SYABAS cuba melakukan sesuatu program untuk memperbaiki tahap perkhidmatan kepada pengguna. Senario ini secara berterusan berlaku bermula tahun 2008 dan sehingga kini masih belum menampakkan hasil yang ia akan berakhir.

 

Pihak Pengurusan PNSB dan SYABAS telah meneliti implikasi situasi ini terhadap pengguna seperti berikut:-

 

NO.

INISIATIF, STATUS TERKINI DAN IMPLIKASI TERHADAP PENGGUNA

1.

PROGRAM PENAMBAHAN BEKALAN AIR TERAWAT

Rezab bekalan air terawat (bersih) dalam sistem di bawah 5% sejak dari tahun 2008 dan sekarang di bawah 1%. Keadaan adalah sangat kritikal kerana:-

  • Pembinaan Loji Rawatan Langat 2 belum siap (belum bermula).
  • Pembesaran loji rawatan air dan lain-lain program dilaksanakan pada skala kecil sahaja.
  • Banyak cadangan SYABAS tidak diluluskan kerana menunggu penstrukturan semula selesai.

 

STATUS TERKINI:

  • Rezab bekalan air pada bulan Jun 2015 adalah di bawah 1% dan menjadi negatif semasa permintaan puncak.

 

IMPAK KEPADA PENGGUNA

  • Sehingga April 2015 sahaja, banyak kawasan terutama di Wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan (terputus bekalan dan tekanan rendah)
  • SITUASI BEKALAN AIR AMAT KRITIKAL

 

 

NO.

INISIATIF, STATUS TERKINI DAN IMPLIKASI TERHADAP PENGGUNA

2.

PROGRAM PENGGANTIAN PAIP LAMA

SYABAS dipertanggungjawabkan untuk menukar paip air jenis simen asbestos (AC) yang telah usang sepanjang 6,423km di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

 

STATUS TERKINI :

Pelaksanaan program tersusun dan terancang ini terjejas disebabkan Perbelanjaan Modal (CAPEX) SYABAS bagi program ini telah dibekukan oleh pihak-pihak berkuasa yang terlibat kecuali sebahagian kecil projek yang diluluskan oleh pihak berkuasa berdasarkan kerja kecemasan sahaja.  Sehingga kini, hanya  sepanjang 1,020km paip jenis AC yang telah berjaya ditukar.

 

IMPAK KEPADA PENGGUNA:

  • Kadar Air Tanpa Hasil (Non-Revenue Water – NRW) tidak dapat dikurangkan ke tahap yang disasarkan di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS kerana ianya hanya menurun ke tahap 32%. 
  • Kejadian paip pecah dan bocor kerap berlaku akibat ketiadaan program penggantian paip-paip lama. Ianya boleh menyebabkan gangguan bekalan air dan kesesakan lalu lintas semasa kerja-kerja pembaikan paip pecah dijalankan.
  • Paip-paip yang usang dan mudah rosak boleh menjejaskan kualiti air terawat dan kesihatan.
  • Kekerapan kejadian paip pecah menyebabkan kehilangan air dan gangguan bekalan air. Ia juga menyebabkan jalan rosak dan kesesakan lalulintas akibat pembaikan perlu dilakukan.

 

 

NO.

INISIATIF, STATUS TERKINI DAN IMPLIKASI TERHADAP PENGGUNA

3.

PROGRAM MENINGKATKAN PERKHIDMATAN & NAIK TARAF KEMUDAHAN SISTEM BEKALAN AIR TERAWAT 

SYABAS dan PNSB telah menjadualkan beberapa pelan naik taraf rangkaian agihan dan kemudahan loji rawatan dan beberapa inisiatif tambahan bagi menambahkan bekalan air terawat di beberapa kawasan yang berhadapan dengan kekurangan bekalan air yang kritikal.

 

STATUS TERKINI :

Program dan inisiatif ini terjejas sejak CAPEX dibekukan oleh pihak-pihak berkuasa yang terlibat. Setakat ini, hanya 30% (RM685 juta) yang dapat dilaksanakan. Situasi ini menyebabkan loji-loji rawatan air yang dikendalikan oleh PNSB terpaksa beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk untuk memenuhi permintaan pengguna kerana ketiadaan sumber air alternatif.

 

IMPAK KEPADA PENGGUNA:

  • Kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual dalam jangkamasa

yang lama kerap berlaku.

  • Tiada sumber alternatif bekalan air terawat kerana rezab bekalan air terawat berada di bawah 5% dalam keadaan biasa, menurun ke paras sekitar 1% atau kurang daripadanya semasa permintaan  puncak.
  • Kawasan tinggi dan yang di penghujung rangkaian agihan mengambil masa paling lama untuk pulih selepas berlaku sesuatu gangguan bekalan air.
  • Disebabkan beroperasi melebihi had yang ditetapkan (overload) untuk tempoh yang panjang, berterusan setiap hari dan 365 hari setahun bagi memenuhi permintaan pengguna, peralatan loji rawatan air mudah rosak. Ini juga akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual.
  • Bekalan air kecemasan menerusi lori tangki dan tangki air statik adalah terhad dan kekerapan penghantaran juga tidak dapat dilakukan mengikut kemahuan pengguna disebabkan kawasan yang terlibat adalah luas. Oleh itu, bekalan air kecemasan yang diterima oleh pengguna juga adalah terhad untuk kegunaan aktiviti harian mereka sahaja.
  • Catuan air mungkin berulang di masa hadapan. Lapan  daripada 10 wilayah telah menjadi hot spot dengan kekerapan gangguan bekalan air yang tinggi iaitu Wilayah Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sepang, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Petaling.

 

NO.

INISIATIF, STATUS TERKINI DAN IMPLIKASI TERHADAP PENGGUNA

4.

PROGRAM MENGURANGKAN NRW TERHENTI 

Kadar NRW tidak boleh dikurangkan lagi dan akan terus bertambah disebabkan program yang disusun dan dirancang oleh SYABAS terhenti akibat pembekuan CAPEX oleh pihak-pihak yang berkuasa. Ketika SYABAS mengambil alih pengurusan dan operasi Perbadanan Urus Air Selangor Berhad (PUAS) pada tahun 2005, tahap NRW adalah pada 42.78%. SYABAS berjaya menurunkan kepada 33% pada tahun 2008 iaitu dalam tempoh tiga tahun selepas pengambil alihan berlaku melalui program intensif NRW.

 

STATUSTERKINI

Program yang disusun dan dirancang oleh SYABAS terhenti sejak tahun 2008 sementara menunggu penstrukturan semula. Namun, beberapa aktiviti terhad yang telah diluluskan di bawah "mitigasi 2" dan Program Pengurangan Kehilangan Air Fizikal yang diluluskan baru-baru ini pada September 2014 dengan menggunakan dana dalaman SYABAS yang terhad.  Ini bagaimanapun tidak mencukupi untuk mengurangkan tahap kehilangan air yang disasarkan.

 

IMPAK TERHADAP PENGGUNA

  • Tahap NRW akan terus meningkat dan ini akan memburukkan lagi kekurangan bekalan air yang sedia ada. Ini akan memburukkan lagi keadaan!
  • Penjimatan air tidak dapat dicapai untuk membantu kawasan hot spots yang mengalami kekurangan bekalan air.
  • Loji Rawatan Air akan terus beroperasi melebihi kapasiti untuk memenuhi permintaan pengguna, lantas menambahkan risiko kerosakan dan pemberhentian operasi.
  • Pembangunan baharu tidak dapat diteruskan akibat kekurangan bekalan air terawat.

 

 

NO.

INISIATIF, STATUS TERKINI DAN IMPLIKASI TERHADAP PENGGUNA

5.

OPERASI DAN KEYAKINAN KAKITANGAN TERJEAS

Ketidaktentuan dan tiada kemajuan pada beberapa program dan inisiatif telah menjejaskan moral kakitangan SYABAS dan PNSB. Selain itu, kakitangan juga tepaksa bekerja di dalam keadaan yang tidak selesa kerana program menaiktaraf pejabat dan kemudahan operasi termasuk pengangkutan tidak dapat dilaksanakan akibat pembekuan CAPEX.

 

STATUS TERKINI :

Kakitangan terpaksa menggunakan kenderaan lama yang tidak lagi ekonomik; suasana dan persekitaran kerja yang kurang selesa serta tidak berlandaskan teknologi dan keupayaan terkini.

 

IMPAK TERHADAP PENGGUNA :

  • Kakitangan tidak dapat memberikan tumpuan dan perkhidmatan terbaik dengan kekangan yang dihadapi.
  • Kakitangan tidak dapat membantu pengguna dengan sepenuhnya kerana semangat mereka adalah rendah dan tiada penyelesaian dari pihak berkuasa.
  • Kakitangan di dalam keadan tertekan apabila dihujani pelbagai soalan oleh pengguna yang jawapanya hanya dapat diberikan oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi.
  • Kemerosotan piawaian perkhidmatan secara keseluruhan kerana timbulnya kekeliruan, hala tuju yang samar dan tiada tindakan penyudah oleh pihak berkuasa.

 

 

Kami berharap agar tiada lagi lanjutan pada Tarikh Tamat Perjanjian SPA selepas bulan Ramadan kerana perkara ini terus tertunda begitu lama dan jika ianya masih tidak diselesaikan, PNHB tidak mempunyai pilihan lain selain membatalkan Perjanjian SPA dengan Air Selangor berdasarkan hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan kedua-dua PNSB dan SYABAS akan memulakan semula tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula bayaran kepada hutang yang telah meningkat kepada RM4.97 bilion setakat 31 Mac 2015 daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi kenaikan tarif seperti yang tertakluk di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS tidak dilaksanakan, kerana aliran kewangan dan operasi PNSB dan SYABAS telah terjejas dengan teruk akibat hutang terkumpul yang tinggi yang tidak dibayar selama ini.

 

Tindakan undang-undang ini sebelum ini telah ditangguhkan sehingga Penyatuan/Penstrukturan Semula Industri Air di Selangor disempurnakan. Ketidaktentuan yang berpanjangan terhadap Penyatuan/Penstrukturan Semula Industri Air di Selangor menjejaskan tahap perkhidmatan air kepada pengguna. Kami berharap kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dapat menyelesaikan isu-isu tertangguh dengan segera demi kepentingan pengguna.

 

Di sebalik ketidaktentuan bilakah Penyatuan/Penstrukturan Semula Industri Air di Selangor oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor, dapat disempurnakan, PNHB akan mendapatkan pertimbangan dan kelulusan daripada Ahli Lembaga Pengarah PNHB terhadap tempoh lanjutan keenam bagi Tarikh Tamat Perjanjian SPA tersebut. 

 

 

TAN SRI ROZALI ISMAIL

PENGERUSI EKSEKUTIF/PENGARAH URUSAN

Puncak Niaga Holdings Berhad

 



Viewing all articles
Browse latest Browse all 779


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>